Wednesday, April 15, 2009

Kepentingan kelapa sawit

Industri makanan berasaskan minyak sawit di Malaysia telah mengalami perkembangan pesat sejak tiga dekad yang lalu. Kawasan tanaman sawit meningkat daripada anggaran satu juta hektar dalam tahun 1980 kepada dua juta hektar dalam tahun 1990, dan hari ini ia berada pada keluasan 3.8 juta hektar, bersamaan dengan lebih 500 juta pokok sawit.
Dari segi penghasilan minyak sawit mentah (CPO), pengeluaran dicatat pada 13.35 juta tan dalam tahun 2003 daripada sejumlah 370 kilang buah sawit di seluruh negara.Industri ini juga turut terbabit secara meluas dalam aktiviti hiliran, daripada penapisan sehingga kepada penghasilan minyak masak dan oleokimia
Malaysia mempunyai jumlah penduduk yang agak kecil seramai 24 juta orang dan dengan itu, penggunaan minyak sawit secara tempatan adalah agak terhad.Oleh kerana itu, lebih 90 peratus pengeluaran minyak makan tahunan telah dieksport, menjadikan hasil sawit punca pendapatan tukaran wang asing yang penting untuk negara ini, serta tonggak ekonomi negara.


Nilai eksport minyak sawit pada tahun 2003 berjumlah RM 26.15 bilion ketika harga purata minyak sawit mentah berada pada paras RM 1,544 satu tan. Hari ini, Malaysia menyumbang anggaran 50 peratus daripada pengeluaran minyak sawit dunia dan anggaran 60 peratus daripada jumlah dagangannya.Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa sejumlah besar keluasan kawasan tanaman minyak sawit yang telah dikatakan ditanam di dalam kawasan hutan tropika, sebenarnya ditanam di kawasan hutan pembalakan, atau ditanam semula di dalam kawasan yang sebelum itu ditanam dengan tanaman lain.

Contohnya, daripada tahun 1990 hingga 2000, ketika kawasan tanaman kelapa sawit di Malaysia meningkat sebanyak 1.4 juta hektar, kegiatan menanam getah, koko dan kelapa masing-masing menurun sebanyak 0.4, 0.3 dan 0.2 juta hektar.


Sejumlah besar keluasan kawasan tanaman ini ditanam semula dengan kelapa sawit kerana ia tanaman yang lebih menguntungkan.Nilai pelaburan terkini dalam industri minyak sawit Malaysia dianggarkan sekitar RM62 bilion dengan sejumlah besar pembiayaan ini diperoleh dalam negeri.Peningkatan secara meluas penanaman sawit ini membawa pembangunan yang amat diperlukan di kawasan luar bandar, dan telah menjadi tulang belakang ekonomi luar bandar. 290,000 pekebun kecil di skim tanah kerajaan serta pekebun kecil persendirian, bergantung sepenuhnya kepada tanaman ini untuk kehidupan harian mereka.

Hasil pendapatan daripada sawit membawa kesan penting dalam mengekalkan kestabilan sosioekonomi golongan ini. Tambahan pula, seramai 180,000 lagi pekerja di ladang sawit dengan jumlah pendapatan dan kebajikan mereka yang lain, adalah penyumbang besar kepada kestabilan politik dan sosio-ekonomi terutamanya ketika krisis kewangan Asia sekitar tahun 1997-1998.

1 comment:

  1. Seperti yang telah kamu kata kelapa sawit ini banyak kebaikan, apa pula keburukan sektor peladangan ini kepada Malaysia?

    ReplyDelete